Ramai manusia
sekarang akan menafikan sesuatu perkara dengan banyak menanyakan soalan
sehingga seseorang itu buntu. Ada yang cuba berdalih untuk melakukan perkara
wajib sehingga dia berkata "Allah suruh solat ke, wajibkah bersolat?"
Benar, ia memang wajib sebagaimana dalil-dalil dalam al-Quran dalam Surah
Al-Baqarah ayat 150:
Maksudnya:
"Dan dari mana saja engkau keluar (untuk mengerjakan
solat) maka hadapkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram (kaabah) dan di mana
sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya, supaya tidak ada lagi
sebarang alasan bagi orang yang menyalahi kamu, kecuali orang yang zalim
diantara mereka (ada saja yang mereka jadikan alasannya). Maka janganlah kamu
takut kepada cacat cela mereka dan takutlah kamu kepada-Ku semata-mata dan
supaya Aku sempurnakan nikmat-Ku kepada kamu, dan juga supaya kamu beroleh petunjuk
hidayah (mengenai perkara yang benar)".
Hadis Rasulullah SAW pula yang bermaksud:
“Islam didirikan dari lima sendi iaitu mengaku bahawasanya
tiada Tuhan yang sebenar-benarnya disembah melainkan Allah yang Maha Esa,
mengaku bahawasanya Muhammad itu pesuruhNya; mendirikan solat; mengeluarkan
zakat; mengerjakan haji, dan berpuasa di bulan Ramadhan.” (Hadis riwayat
BukhariI dan Muslim dari Ibnu Umar)
Maka terjawablah
segala soalan tentang dalil naqli dan untuk pengetahuan umum, banyak lagi dalil
tentang solat yang tersurat di dalam al-Quran Nur Karim. Syarat wajib solat
terdiri daripada 4 perkara iaitu Islam, baligh, berakal dan suci daripada haid
dan nifas bagi perempuan. Syarat sah solat inilah yang menentukan sama ada
solat yang didirikan sah atau tidak dan perkara ini harus diambil berat. Antara
syarat Sah solat ialah suci dan bersih badannya dari hadas besar dan kecil –
Ertinya seseorang itu telahpun berwuduk dan mandi hadas. Sabda Rasulullah
s.a.w, "Allah tidak menerima solat seseorang dari kamu, apabila dia
berhadas sehingga dia berwuduk" (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim). Kedua,
suci dan bersih pakaian serta tempat solat dari najis – Orang yang mendirikan
solat wajib suci pakaian dan tempat solatnya dari najis, kecuali najis yang
dimaafkan seperti darah yang sedikit, kotoran yang melekat pada kaki dan
sebagainya. Dalam kaedah feqah disebutkan bahawa "kesukaran itu dapat
menarik keringanan", oleh itu najis yang dimaafkan itu tidak membatalkan
solat. Ketiga, menutup aurat – Adapun menutup aurat bagi wanita ialah seluruh
tubuhnya kecuali muka dan kedua tapak tangan. Manakala aurat lelaki ialah
diantara pusat hingga lutut. Batas ini paling penting dan wajib ditutup dalam
solat. Firman Allah s.w.t, "Wahai manusia, pakailah perhiasan mu ketika hendak
solat di masjid" (Al-A'raf:31). Keempat, menghadap Kiblat – Ketika
mendirikan solat, kita diwajibkan menghadap kiblat iaitu Kaabah berdasarkan
firman Allah s.w.t, "Maka hadapkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram
(Kaabah)" (Al-Baqarah:144). Kelima, yakin bahawa waktu solat telah masuk –
Dengan yakin telah masuk waktu solat fardu yang hendak dilaksanakan.
Peringatan, sekiranya sesudah tamat solat, lalu disedari perkara yang tersebut
di atas terjadi - misalnya didapati ada najis di sejadah - maka perlulah
diulangi solat itu kerana ia tidak menepati syarat sah solat.
Berikut adalah perkara yang membatalkan solat:
- Keluar/kedatangan hadas besar atau kecil.
- Berkata-kata dengan sengaja walau sedikit yang memberi faham, atau ketawa.
- Makan/minum dengan sengaja membatalkan solat.
- Melakukan pergerakan di luar rukun solat tiga kali berturut-turut (mutawaliyat).
- Berniat keluar dari solat (mufaraqah).
- Terkena najis yang tidak dimaafkan pada badan, pakaian dan tempat solat.
- Beralih arah dari kiblat dengan sengaja (berpaling dada).
- Terbuka aurat dengan sengaja, atau tidak sengaja tetapi tidak segera ditutup.
- Berubah niat dari satu solat ke solat yang lain.
- Meninggalkan rukun solat.
- Murtad
Rukun solat terbahagi kepada tiga kategori:
- Qalbi (diingat dalam hati)
- Qauli (diucap dengan lidah)
- Fi'li (perbuatan)
Rukun solat ada 13 perkara, iaitu:
- Berdiri bagi yang mampu. [Fi'li]
- Niat.[Qalbi]
- Takbiratul Ihram (Allahu Akhbar yang pertama). [Qauli]
- Membaca surah Al-Fatihah. [Qauli]
- Rukuk dengan tama'ninah .[Fi'li]
- Iktidal dengan tama'ninah. [Fi'li]
- Sujud dengan tama'ninah. [Fi'li]
- Duduk di antara dua sujud, dengan tama'ninah. [Fi'li]
- Duduk Tasyahhud akhir. [Fi'li]
- Membaca bacaan Tasyahhud Akhir. [Qauli]
- Selawat kepada Nabi Muhammad SAW dalam Tasyahhud Akhir. [Qauli]
- Mengucapkan salam yang pertama. [Qauli]
- Tertib [Qalbi]
Perkara - perkara makruh semasa solat:
- Berpaling ke kiri atau ke kanan (kecuali ketika Salam).
- Memandang ke atas (mendongak).
- Berdiri menggunakan sebelah kaki sahaja.
- Berludah ke hadapan atau ke belah kanan.
- Berlebih-lebihan membongkok dan menundukkan kepala ketika rukuk.
- Bercekak pinggang.
- Menyinsingkan kain atau baju.
- Bersembahyang ketika hadir makanan (makanan dihidangkan).
- Bersembahyang ketika berasa hendak qadha' hajat (membuang air).
- Ada juga yang mengatakan adalalah makruh ketika solat sambil menutup mata.
Demikianlah
artikel yang bertajuk solat yang disertakan syarat-syarat solat dan saya minta
maaf jika ada sebarang kesilapan dan minta dibetulkan kesipalan tersebut kerana
sebarang kesilapan dan kesalahan datang dari diri saya sendiri dan segala yang
baik datang daripada Allah. Assalamualaikum waramatullah hi wabaraktuh.