Friday, January 25, 2013

Solat

          Assalamualaikum, saya di sini ingin membincangkan tentang solat. Definisi solat ialah Solat merujuk kepada sembahyang dalam agama Islam. Solat terbahagi kepada solat fardu dan solat sunat. Solat fardu diwajibkan ke atas orang Islam yang baligh dan berakal sebanyak 5 kali sehari pada waktu-waktu tertentu. Solat fardhu merupakan Rukun Islam yang kedua dari lima Rukun Islam. Solat fardhu yang wajib didirikan ialah solat lima waktu sehari semalam, iaitu Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak. Sekiranya seseorang tertinggal solat fardhu, maka wajib baginya untuk mengulangkannya dengan niat qada. Bagi mereka yang musafir, mereka diharuskan bagi solat dengan menqasar dan menjamakkannya.

     Ramai manusia sekarang akan menafikan sesuatu perkara dengan banyak menanyakan soalan sehingga seseorang itu buntu. Ada yang cuba berdalih untuk melakukan perkara wajib sehingga dia berkata "Allah suruh solat ke, wajibkah bersolat?" Benar, ia memang wajib sebagaimana dalil-dalil dalam al-Quran dalam Surah Al-Baqarah ayat 150:

Maksudnya:
"Dan dari mana saja engkau keluar (untuk mengerjakan solat) maka hadapkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram (kaabah) dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya, supaya tidak ada lagi sebarang alasan bagi orang yang menyalahi kamu, kecuali orang yang zalim diantara mereka (ada saja yang mereka jadikan alasannya). Maka janganlah kamu takut kepada cacat cela mereka dan takutlah kamu kepada-Ku semata-mata dan supaya Aku sempurnakan nikmat-Ku kepada kamu, dan juga supaya kamu beroleh petunjuk hidayah (mengenai perkara yang benar)".

Hadis Rasulullah SAW pula yang bermaksud:
“Islam didirikan dari lima sendi iaitu mengaku bahawasanya tiada Tuhan yang sebenar-benarnya disembah melainkan Allah yang Maha Esa, mengaku bahawasanya Muhammad itu pesuruhNya; mendirikan solat; mengeluarkan zakat; mengerjakan haji, dan berpuasa di bulan Ramadhan.” (Hadis riwayat BukhariI dan Muslim  dari Ibnu Umar)


     Maka terjawablah segala soalan tentang dalil naqli dan untuk pengetahuan umum, banyak lagi dalil tentang solat yang tersurat di dalam al-Quran Nur Karim. Syarat wajib solat terdiri daripada 4 perkara iaitu Islam, baligh, berakal dan suci daripada haid dan nifas bagi perempuan. Syarat sah solat inilah yang menentukan sama ada solat yang didirikan sah atau tidak dan perkara ini harus diambil berat. Antara syarat Sah solat ialah suci dan bersih badannya dari hadas besar dan kecil – Ertinya seseorang itu telahpun berwuduk dan mandi hadas. Sabda Rasulullah s.a.w, "Allah tidak menerima solat seseorang dari kamu, apabila dia berhadas sehingga dia berwuduk" (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim). Kedua, suci dan bersih pakaian serta tempat solat dari najis – Orang yang mendirikan solat wajib suci pakaian dan tempat solatnya dari najis, kecuali najis yang dimaafkan seperti darah yang sedikit, kotoran yang melekat pada kaki dan sebagainya. Dalam kaedah feqah disebutkan bahawa "kesukaran itu dapat menarik keringanan", oleh itu najis yang dimaafkan itu tidak membatalkan solat. Ketiga, menutup aurat – Adapun menutup aurat bagi wanita ialah seluruh tubuhnya kecuali muka dan kedua tapak tangan. Manakala aurat lelaki ialah diantara pusat hingga lutut. Batas ini paling penting dan wajib ditutup dalam solat. Firman Allah s.w.t, "Wahai manusia, pakailah perhiasan mu ketika hendak solat di masjid" (Al-A'raf:31). Keempat, menghadap Kiblat – Ketika mendirikan solat, kita diwajibkan menghadap kiblat iaitu Kaabah berdasarkan firman Allah s.w.t, "Maka hadapkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram (Kaabah)" (Al-Baqarah:144). Kelima, yakin bahawa waktu solat telah masuk – Dengan yakin telah masuk waktu solat fardu yang hendak dilaksanakan. Peringatan, sekiranya sesudah tamat solat, lalu disedari perkara yang tersebut di atas terjadi - misalnya didapati ada najis di sejadah - maka perlulah diulangi solat itu kerana ia tidak menepati syarat sah solat.

Berikut adalah perkara yang membatalkan solat:
  • Keluar/kedatangan hadas besar atau kecil.
  • Berkata-kata dengan sengaja walau sedikit yang memberi faham, atau ketawa.
  • Makan/minum dengan sengaja membatalkan solat.
  • Melakukan pergerakan di luar rukun solat tiga kali berturut-turut (mutawaliyat).
  • Berniat keluar dari solat (mufaraqah).
  • Terkena najis yang tidak dimaafkan pada badan, pakaian dan tempat solat.
  • Beralih arah dari kiblat dengan sengaja (berpaling dada).
  • Terbuka aurat dengan sengaja, atau tidak sengaja tetapi tidak segera ditutup.
  • Berubah niat dari satu solat ke solat yang lain.
  • Meninggalkan rukun solat.
  • Murtad

Rukun solat terbahagi kepada tiga kategori:
  • Qalbi (diingat dalam hati)
  • Qauli (diucap dengan lidah)
  • Fi'li (perbuatan)

Rukun solat ada 13 perkara, iaitu:
  • Berdiri bagi yang mampu. [Fi'li]
  • Niat.[Qalbi]
  • Takbiratul Ihram (Allahu Akhbar yang pertama). [Qauli]
  • Membaca surah Al-Fatihah. [Qauli]
  • Rukuk dengan tama'ninah .[Fi'li]
  • Iktidal dengan tama'ninah. [Fi'li]
  • Sujud dengan tama'ninah. [Fi'li]
  • Duduk di antara dua sujud, dengan tama'ninah. [Fi'li]
  • Duduk Tasyahhud akhir. [Fi'li]
  • Membaca bacaan Tasyahhud Akhir. [Qauli]
  • Selawat kepada Nabi Muhammad SAW dalam Tasyahhud Akhir. [Qauli]
  • Mengucapkan salam yang pertama. [Qauli]
  • Tertib [Qalbi]

Perkara - perkara makruh semasa solat:
  • Berpaling ke kiri atau ke kanan (kecuali ketika Salam).
  • Memandang ke atas (mendongak).
  • Berdiri menggunakan sebelah kaki sahaja.
  • Berludah ke hadapan atau ke belah kanan.
  • Berlebih-lebihan membongkok dan menundukkan kepala ketika rukuk.
  • Bercekak pinggang.
  • Menyinsingkan kain atau baju.
  • Bersembahyang ketika hadir makanan (makanan dihidangkan).
  • Bersembahyang ketika berasa hendak qadha' hajat (membuang air).
  • Ada juga yang mengatakan adalalah makruh ketika solat sambil menutup mata.

     Demikianlah artikel yang bertajuk solat yang disertakan syarat-syarat solat dan saya minta maaf jika ada sebarang kesilapan dan minta dibetulkan kesipalan tersebut kerana sebarang kesilapan dan kesalahan datang dari diri saya sendiri dan segala yang baik datang daripada Allah. Assalamualaikum waramatullah hi wabaraktuh.

Sunday, December 9, 2012

Selamat Datang!

Assalamualaikum warahmatullah hi wabarakatuh. 

Nabi Muhammad SAW ada bersabda yang bermaksud bahawa "sampaikanlah kamu sesuatu dari aku walau satu ayat". Hadis ini jelas bermaksud bahawa setiap ilmu yang Rasulullah ajarakan hendaklah kita sampaikan. Jadi tujuan saya menubuhkan blog ini adalah untuk menyampaikan ilmu-ilmu yang mungkin amat berguna bagi kita mahupun di dunia dan dia akhirat. Insyaallah.